PROFILE PERSATUAN TAEKWON-DO GTF KULIM

Seni mempertahankan diri Taekwon-Do merupakan satu daripada acara seni mempertahankan diri yang sangat popular di peringkat antarabangsa. Ternyata seni ini mempunyai banyak peminatnya. Tidak ketinggalan, daerah kita, kulim turut mempunyai peminat yang ramai.

Persatuan Taekwon-Do GTF Kulim ditubuhkan pada tahun 1999 dan mendapat pengiktirafan daripada Kementrian Belia dan Sukan Malaysia di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 pada 1 Oktober 2001. Pengasas Kelab Taekwon-Do GTF Kulim adalah En. Nandakumar.

Beliau merupakan anak watan yang sentiasa menyumbang ke arah kemajuan Persatuan Taekwon-Do. Beliau telah melakukan beberapa perubahan kepada Persatuan ini sehingga sumbangannya amat dikagumi. Beliau merupakan seorang yang berdedikasi dan bertauliah serta sentiasa mengutamakan kepentingan persatuanya lebih daripada kepentingan sendiri. Presiden persatuan ini ialah En. Abdul Razak bin Abd. Rahman.

Beliau amat mementingkan Persatuan Taekwon-Do GTF Kulim. Sejajar dengan itu, beliau telah memberi sokongan dari segi kewangan agar persatuan ini dapat berkembang maju. Setiap kali persatuan ini melakukan sebarang aktiviti , beliau akan menjadi tunggak aktiviti tersebut. Beliau turut menjadi perangsang dan idola Persatuan Taekwon-Do GTF Kulim.

Sejak pertubuhannya, Persatuan ini telah tampil mengadakan beberapa aktiviti. Setiap aktiviti persatuan ini diadakan hanya 2 tahun sekali. Contohnya, kem membina diri, mendaki gunung (Gunung Binting) dan aktiviti menderma darah telah diadakan selama ini. Kejohanan Taekwon-Do GTF Kulim pula telah diadakan hasil gabungan dengan Persatuan Taekwon-Do Kedah pada tahun 2002 dan 2004. Gabungan dengan Persatuan Taekwon-Do Kedah telah menguatkan lagi semangat para perserta Kulim untuk bertanding.

Berhubung dengan prestasi skuad Taekwon-Do Kulim, kita boleh mendabik dada dewasa ini. Dalam kedudukan peringkat kebangsaan, skuad Taekwon-Do Kulim berada di tempat yang agak tinggi.Setiap kali bertanding, semangat juang skuad kebangsaan yang tinggi menyebabkan mereka dapat menyaingi pihak lawan dengan baik. Pasukan kebangsaan kita telah menyertai kejohanan Taekwon-Do MGTF 2002 di Port Dickson, Negeri Sembilan dan telah berjaya membawa balik piala pusingan. Kejayaan yang dicapai pada tahun 2002 telah mendorong lagi semangat para perserta untuk mengecapi kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun seterusnya. Pada tahun 2003 dan 2004, Persatuan Taekwon-Do GTF Kedah telah membawa balik Piala Sultan Mizan dengan penuh megah. Pencapaian yang hebat seperti ini telah menaikkan imej Persatuan Taekwon-Do GTF Kedah.

Kejayaan dan pencapaian Peratuan Taekwon –Do Kulim selama tiga tahun ini, telah memberi keyakinan kepada Persekutuan Taekwon-Do Global Malaysia dan menyebabkan mereka memberi mandat kepada Persatuan Taekwon-Do Kulim melangsungkan kejohanan Taekwon-Do Kebangsaan 2006 pada 8,9 dan 10 Disember 2006 di daerah Kulim Bandar Baharu sendiri. Kejohanan ini telah berlangsung di dewan CRC. Persatuan Taekwon-Do Global Malaysia selalu memberi mandat ini kepada Persatuan peringkat negeri sahaja,tetapi pertama kali dalam sejarah Taekwon-Do sendiri, mandat ini diberikan kepada Persatuan peringkat daerah iaitu Persatuan Taekwon-Do GTF Kulim. Kegigihan, semangat dan kejujuran Persatuan Taekwon-Do GTF Kulim melakukan sebarang aktiviti akhirnya membuahkan hasil.

Akhir kata, kejayaan Persatuan Taekwon-Do GTF Kulim sudah sampai di tahap yang memuaskan. Oleh yang demikian, setiap pihak yang berusaha dalam hal ini wajar diucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan dan sokongan mereka.Tidak pula melupakan jurulatih kita Encik Balachandran dan Encik Mansur Manni yang telah menyumbangkan tenaga untuk melatih atlet kita dimana tiga tahun berturut membawa pulang Piala Kejohanan Kebangsaan. Moga-moga, persatuan ini akan terus mencapai kejayaan yang cemerlang, gemilang dan tebilang.


Halaman utama | Sejarah | Objective | GTF | Federal Exco | Profil | Organisasi | Gelery | Hubungi kami
Guestbook