|
PROFILE PERSATUAN TAEKWON-DO
GTF KULIM
Seni mempertahankan diri Taekwon-Do merupakan satu daripada
acara seni mempertahankan diri yang sangat popular di peringkat
antarabangsa. Ternyata seni ini mempunyai banyak peminatnya.
Tidak ketinggalan, daerah kita, kulim turut mempunyai peminat
yang ramai.
Persatuan Taekwon-Do GTF Kulim ditubuhkan pada tahun 1999
dan mendapat pengiktirafan daripada Kementrian Belia dan Sukan
Malaysia di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 pada 1 Oktober
2001. Pengasas Kelab Taekwon-Do GTF Kulim adalah En. Nandakumar.
Beliau merupakan anak watan yang sentiasa menyumbang ke arah
kemajuan Persatuan Taekwon-Do. Beliau telah melakukan beberapa
perubahan kepada Persatuan ini sehingga sumbangannya amat
dikagumi. Beliau merupakan seorang yang berdedikasi dan bertauliah
serta sentiasa mengutamakan kepentingan persatuanya lebih
daripada kepentingan sendiri. Presiden persatuan ini ialah
En. Abdul Razak bin Abd. Rahman.
Beliau amat mementingkan Persatuan Taekwon-Do GTF Kulim. Sejajar
dengan itu, beliau telah memberi sokongan dari segi kewangan
agar persatuan ini dapat berkembang maju. Setiap kali persatuan
ini melakukan sebarang aktiviti , beliau akan menjadi tunggak
aktiviti tersebut. Beliau turut menjadi perangsang dan idola
Persatuan Taekwon-Do GTF Kulim.
Sejak pertubuhannya, Persatuan ini telah tampil mengadakan
beberapa aktiviti. Setiap aktiviti persatuan ini diadakan
hanya 2 tahun sekali. Contohnya, kem membina diri, mendaki
gunung (Gunung Binting) dan aktiviti menderma darah telah
diadakan selama ini. Kejohanan Taekwon-Do GTF Kulim pula telah
diadakan hasil gabungan dengan Persatuan Taekwon-Do Kedah
pada tahun 2002 dan 2004. Gabungan dengan Persatuan Taekwon-Do
Kedah telah menguatkan lagi semangat para perserta Kulim untuk
bertanding.
Berhubung dengan prestasi skuad Taekwon-Do Kulim, kita boleh
mendabik dada dewasa ini. Dalam kedudukan peringkat kebangsaan,
skuad Taekwon-Do Kulim berada di tempat yang agak tinggi.Setiap
kali bertanding, semangat juang skuad kebangsaan yang tinggi
menyebabkan mereka dapat menyaingi pihak lawan dengan baik.
Pasukan kebangsaan kita telah menyertai kejohanan Taekwon-Do
MGTF 2002 di Port Dickson, Negeri Sembilan dan telah berjaya
membawa balik piala pusingan. Kejayaan yang dicapai pada tahun
2002 telah mendorong lagi semangat para perserta untuk mengecapi
kejayaan yang lebih cemerlang pada tahun seterusnya. Pada
tahun 2003 dan 2004, Persatuan Taekwon-Do GTF Kedah telah
membawa balik Piala Sultan Mizan dengan penuh megah. Pencapaian
yang hebat seperti ini telah menaikkan imej Persatuan Taekwon-Do
GTF Kedah.
Kejayaan dan pencapaian Peratuan Taekwon –Do Kulim selama
tiga tahun ini, telah memberi keyakinan kepada Persekutuan
Taekwon-Do Global Malaysia dan menyebabkan mereka memberi
mandat kepada Persatuan Taekwon-Do Kulim melangsungkan kejohanan
Taekwon-Do Kebangsaan 2006 pada 8,9 dan 10 Disember 2006 di
daerah Kulim Bandar Baharu sendiri. Kejohanan ini telah berlangsung
di dewan CRC. Persatuan Taekwon-Do Global Malaysia selalu
memberi mandat ini kepada Persatuan peringkat negeri sahaja,tetapi
pertama kali dalam sejarah Taekwon-Do sendiri, mandat ini
diberikan kepada Persatuan peringkat daerah iaitu Persatuan
Taekwon-Do GTF Kulim. Kegigihan, semangat dan kejujuran Persatuan
Taekwon-Do GTF Kulim melakukan sebarang aktiviti akhirnya
membuahkan hasil.
Akhir kata, kejayaan Persatuan Taekwon-Do GTF Kulim sudah
sampai di tahap yang memuaskan. Oleh yang demikian, setiap
pihak yang berusaha dalam hal ini wajar diucapkan ribuan terima
kasih atas sumbangan dan sokongan mereka.Tidak pula melupakan
jurulatih kita Encik Balachandran dan Encik Mansur Manni yang
telah menyumbangkan tenaga untuk melatih atlet kita dimana
tiga tahun berturut membawa pulang Piala Kejohanan Kebangsaan.
Moga-moga, persatuan ini akan terus mencapai kejayaan yang
cemerlang, gemilang dan tebilang. |